Yang buta menjadi celik. Yang bisu menjadi mampu berkata-kata. Yang lumpuh menjadi dapat berjalan. Yang sakit kusta menjadi bersih. Yang mati, hidup kembali.
Dilahirkan dengan keajaiban, Yesus Kristus telah melakukan banyak mukjizat sepanjang tiga tahun melayani di bumi. Tidak ada satu pun penyakit yang tidak boleh disembuhkan-Nya. Oleh itu, ramai orang sakit datang berduyun-duyun untuk mencari Yesus dan meminta agar disembuhkan.
Yesus pernah menyembuhkan seorang hamba kepada seorang ketua tentera berbangsa asing dengan hanya sepatah dua kata, tanpa bersemuka dengan si hamba itu.
Yesus pernah mengusir roh-roh jahat daripada seorang lelaki. Roh-roh jahat itu sendiri takut kepada Yesus. Yesus mengucapkan sepatah dua kata sahaja, maka roh-roh itu keluar dari tubuh lelaki itu dan lelaki itu pun sihat semula.
Yesus pernah mengarahkan beberapa orang nelayan yang baru sahaja siap menjala ikan supaya menebarkan jala mereka. Hasilnya, jala mereka penuh dengan ikan sehingga jala mereka hampir koyak.
Yesus pernah menghidupkan anak seorang janda yang sudah mati yang sedang diusung untuk pengebumian. Yesus juga pernah menghidupkan seorang lelaki yang bernama Lazarus yang sudah mati dan yang telah dikebumikan selama empat hari.
Yesus pernah menenangkan ribut taufan yang bergelora dengan kata-kata, serta pernah berjalan di atas air.
Yesus pernah memberi makan lebih lima ribu orang dengan hanya lima keping roti dan dua ekor ikan. Sisa makanan mereka menjadi banyak sehingga telah memenuhi dua belas bakul.
Yesus pernah mengembalikan telinga seseorang yang baru sahaja dipotong telinganya.
Terlalu banyak mukjizat-mukjizat yang Yesus pernah lakukan, sampaikan Yohanes, si penulis Injil berkata: "Ada banyak lagi perkara lain yang dilakukan oleh Yesus. Andainya dituliskan segala-galanya, aku rasa seluruh dunia ini pun tidak cukup untuk memuatkan semua kitab itu. " (Yohanes 21:25)
Kedatangan Yesus bukan hanya setakat untuk melakukan mukjizat-mukjizat, tetapi juga untuk menjemput ramai orang untuk bertaubat dan datang kepada Bapa-Nya. Pengikut-pengikut Yesus menjadi sangat ramai sehingga hari ini oleh sebab pengajaran-pengajaran-Nya serta teladan-teladan-Nya yang sangat luar biasa.
Bahkan, kematian Yesus juga berakhir dengan keajaiban. Yesus bangkit hidup semula tiga hari selepas kematian-Nya dan meluangkan masa bersama-sama dengan murid-murid-Nya selama beberapa hari sebelum naik ke Syurga. Sehingga hari ini, Yesus tinggal di Syurga dengan tubuh fizikal-Nya dan akan datang lagi ke bumi buat kali kedua pada akhir zaman dalam keadaan yang sama.
Bayangkan, jika Yesus masih berada di bumi pada hari ini, hospital-hospital dan klinik-klinik tidak akan dibina. Para doktor dan para jururawat tidak akan wujud dalam kamus pekerjaan sedunia. Mungkin beratus ribu jumlahnya para pesakit datang dari seluruh dunia dan beratur untuk bertemu dengan Yesus satu per satu.
Meskipun Yesus tidak bersama dengan kita pada hari ini, namun kuasa penyembuhan dalam nama Yesus masih wujud sampai hari ini; iaitu bagi sesiapa yang percaya kepada-Nya. Pada hari ini, berjuta-juta orang yang telah membuat keputusan untuk meninggalkan jalan hidup mereka yang lama dan mengikut Yesus; oleh sebab kuasa mukjizat-Nya yang terjadi dalam kehidupan mereka.